😊Assalamualaikum😊
Disiplin merupakan perkataan yang
digeruni oleh setiap insan yang bergelar pelajar sama ada di peringkat sekolah
mahupun di institut pengajian tinggi. Namun begitu, perkataan keramat ini lebih
sinonim dan digeruni oleh pelajar yang berada di peringkat sekolah. Disiplin
mengingatkan pelajar kepada perkara-perkara yang boleh dikenakan tindakan
tatatertib seperti ponteng kelas, merokok, buli pelajar serta meniru di dalam
peperiksaan. Seperti pelajar normal, pelajar Pendidikan Khas yang bermasalah
pembelajaran juga mempamerkan tingkah laku yang negatif dimana jika tidak
diatasi, ianya akan menganggu sesi pengajaran dan pembelajaran.Menurut sebuah artikel yang saya kaji, setiap murid bermasalah pembelajaran berbeza dan unik dari segi keupayaan fizikal, kognitif dan tingkah laku namun hak mereka dalam pendidikan tanpa mengira latar belakang sosial, kaum atau perkembangan intelek perlu diberi perhatian (Osman & Ahmad Ghazie, 2007). Selain itu, pengetahuan terhadap model pengubahsuaian tingkah laku yang efektif juga membantu guru lebih kreatif dan inovatif dalam penyampaian pengajaran. Guru juga perlu memikirkan pendekatan pengajaran yang bersesuaian dengan keperluan murid apabila mengajar (Noriati, Boo, & Wong, 2010). Saya bersetuju dengan kenyataan yang dinyatakan di dalam artikel ini. Pelajar bermasalah pembelajaran antara pelajar Pendidikan Khas yang memerlukan perhatian yang banyak ketika sesi pengajaran dan pembelajaran.
Menurut Noraini, Faridah, Manisah dan
Safani (2001), proses pengajaran dan pembelajaran bergantung kepada kecekapan
dan kemahiran guru pendidikan khas. Pengajaran yang bersesuaian dengan tahap
kebolehan murid bermasalah pembelajaran dapat menentukan kejayaan proses
pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan (Noor Aini Ahmad dan Norhafizah
Abu Hanifah, 2015). Jika seorang guru tidak mampu mengawal tingkah laku
pelajar, maka proses pengajaran dan pembelajaran tidak dapat dilaksanakan
dengan teratur. Oleh itu, guru Pendidikan Khas haruslah cekap dalam menguruskan
perkara yang melibatkan tingkah laku pelajar kerana ianya dapat member kesan
terhadap suasana di dalam bilik darjah serta sesi pengajaran dan pembelajaran.
No comments:
Post a Comment